Thursday, 19 March 2015

CERPEN DIARI PENDOSA : NILAI PERSAHABATAN

Aku memandang sayu wajah teman baikku. Aku tak sangka dia sanggup memutuskan persahabatan kami yang telah terjalin selama tiga tahun hanya kerana seorang insan bernama lelaki. Aku agak kecewa kerana dia sanggup menuduhku yang bukan-bukan saat ingin memutuskannya.
“Ain, jom kita ke kantin. Aku dah laparlah.”rengek Syauqina sambil tangannya sibuk memegang perut yang berkeroncong. Aku tersenyum melihat telatahnya. Seketika aku terdiam kerana terpandangkan Rauqah.
Syauqina melirik matanya ke arah pandangan mata yang sama denganku. Aku tersenyum dengan senyuman yang aku tak pasti akan maknanya. Mesra saja aku melihat Rauqah dengan Raziq. Lupakah dia dengan kenangan kami satu ketika dahulu? Sedikit pun dia tak memandang ke arahku, aku redha akan takdir dalam perhubungan kami.
“Dahlah tu, jomlah kita ke kantin. Biarkan je Rauqah dengan kekasih dia tu. Kau percayalah cakap aku, satu hari nanti dia mesti akan bersahabat kembali dengan kau.” Syauqina menyedapkan hati aku.
“Aku harap macam itulah. Lagipun kau pun tahu yang si Raziq tu bukannya baik sangat. Haha” aku gelak jahat. Syauqina turut sama ketawa denganku.
Tanpa aku sedari, ada sepasang mata melihat keakraban kami. Aku berjalan beriringan dengan Syauqina menuju ke kantin. Syauqina menunggu aku di meja makan sementara aku sedang membeli makanan untuk kami.
Selesai membeli makanan, aku membawa makanan menuju ke tempat yang diduduki Syauqina. Aku tersenyum kepadanya saat dia membuat lambang ‘peace’ kepadaku. Memang menjadi kebiasaan kami untuk bergilir-gilir membeli makanan.
Sesaat, bahuku di langgar seseorang. Nasib kurang menyebelahiku, habis jatuh semua makanan yang dibeli tadi. Muka aku menebal rasa malu  kerana menjadi perhatian pelajar yang ada di kantin. Aku mengangkat muka untuk melihat gerangan orang yang melanggarku.
Rauqah! Aku tak terkata apa-apa. Rauqah tersenyum sinis memandangku. Syauqina datang terkocoh-kocoh menghampiriku. Kelam kabut dia membantuku. Syauqina bangun dan memarahi Rauqah.
“Apa masalah kau sebenarnya? Kau tu dah buta sangat ke sampai Ain pun kau tak nampak.”Syauqina bertanya bagi pihak aku. Aku sedikit risau.
“Tiada masalah. Dah memang aku tak nampak, nasiblah.”mendatar jawapan yang diberikan Rauqah. Syauqina naik angin dengan nada yang dituturkan Rauqah.
“Ish, kau ni memang jahatlah. Benci pula aku tengak. Harapkan muka je cantik tapi hampeh.”perli Syauqina. Merah padam muka Rauqah mendengar sindiran Syauqina.
“Aku memang cantik sebab tu Raziq nakkan aku bukan kawan kau yang konon alim tu. Huh! Depan je nampak baik tapi belakang ada hati nak goda Raziq.”tuduh Rauqah tak berasas.
“Apa?! Ain goda Raziq? Ai! Telinga aku salah dengar ke?” ejek Syauqina. Aku lebih banyak memerhati. Rauqah geram melihat aku diam terkutik tak berkata apa-apa. Rauqah menghampiri aku dan melanggar bahuku. aku terdorong ke belakang sedikit gara-gara dilanggar kasar oleh Rauqah.
Syauqina menjeling tajam Rauqah. Memang melampau minah ni. Saat Syauqina ingin bergaduh dengan lebih jauh, aku menarik tangannya pergi dari kantin tersebut. Aku sempat memandang sekilas Rauqah. Masam muka Rauqah melihat kami berlalu pergi.
“Ish! Geram betul aku dengan minah senget tu. Kau pun satu, kenapa kau tak balas balik perbuatan dia tu ha?!”soal Syauqina dengan nada geram. Aku tersenyum melihat keadaannya. Cute!
“Eh-eh, dia senyum pula. Aku seriuslah.”Syauqina memukul lembut bahuku. Aku teringatkan kejadian tadi, apakah punca Rauqah bersikap sedemikian? Aku masih tidak dapat mentafsirkan sebab disebalik kejadian tadi.
“Ain!!” aku tersentak saat telingaku bergegar dengan jeritan nyaring Syauqina. Terpinga-pinga aku menatap wajah manis Syauqina.
“Apa?”soalku seperti orang kebingungan.
“Itulah. Orang sibuk bercakap, kau termenung. Dah sampai kat mana kau termenung? England? Brazil?”perli Syauqina. Aku  tersengih-sengih membalas pertanyaan Syauqina.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
“Dari Abu Said Khudri r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda ; Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah kamu mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lisan, jika tidak mampu hendaklah membencinya dengan hati dan sesungguhnya ia adalah selemah-lemah iman.
Adapun hadis ini menyarankan kita supaya nahi mungkar. Kalau kita meredhai atau tidak mengambil peduli akan kemungkaran yang berlaku di hadapan kita maka munafiklah kita. Munafiknya kita kerana mengaku Islam sedangkan kita tidak melakukan sebagaimana yang dituntut oleh Islam itu sendiri. Malah, jika ada sesiapa yang menghalalkan kemungkaran yang jelas haram maka sesungguhnya dia telah murtad kerana mengubah hukum Allah s.w.t.” terngiang-ngiang di pendengaranku tazkirah yang disampaikan seorang ustaz 6 bulan yang lalu.
Aku termenung memikirkan persahabatan yang terjalin dengan Rauqah. Apakah kerana aku pernah menyuruhnya memutuskan hubungan cintanya dengan Raziq sehingga dia lupa akan janji kami supaya bersahabat sampai bila-bila. Sampai mati.
Di dalam sebuah kelas yang sunyi aku menghampiri Rauqah yang sedang asyik membaca surat cinta daripada buah hatinya. Rauqah tersenyum tatkala melihatku duduk bersebelahan dengannya.
“Rauqah. Aku nak cakap sesuatu dengan kau ni? Dengar dulu. Jangan nak hakimi aku sebelum aku selesai cakap.”ujarku serius.
Berkerut Rauqah melihatku. Tak pernah-pernah aku bernada seserius sedemikian sebelum ini. Dia mengadapku setelah menyimpan surat cintanya sebentar tadi. Aku menelan air liur sebelum memulakan bicara kerana khuatir bicaraku disalahtafsirkan.
“Antara aku dan Raziq, siapa yang lebih penting dalam hidup kau?”ujarku sebagai permulaan. Aku melihat reaksi Rauqah.
Rauqah seperti teragak-agak hendak memberikan jawapan. Nyatalah sekarang bahawa Raziq juga sudah menjadi orang penting dalam hidup Rauqah setelah aku. Dulu, saat aku menyoalkan soalan sedemikian,Rauqah tidak teragak-agak untuk menyatakan akulah orang yang terpenting. Tapi sekarang? Aku hanya mampu mengeluh.
“Tak apalah. Aku nak cakap something kat kau ni.”ada getar dalam nadaku itu.
“Cakaplah. Kau ni serius semacam. Nak tergelak aku tengak muka kau.”terdengar tawa Rauqah. Aku semakin serius. Rauqah terdiam.
“Aku minta maaf kalau perkara yang aku nak cakapkan ni menyinggung perasaan kau. Aku perlu beritahu kau juga sebab ni memang kewajipan aku sebagai sahabat kau.”aku memulakan bicara setelah lama berdiam diri. Hatiku berdebar. Risau bercampur sedih. Rauqah masih setia mendengar.
“Pasal Raziq.”Rauqah sedikit terkesima mendengarnya. Aku menelan air liur. Ah! Peritnya.
“Jujur aku katakan, aku tak suka kau dengan Raziq berkasih. Aku bukannya apa. Aku rasa Raziq tak sesuai dengan kau, dia pun bukan lelaki yang baik untuk kau. Lagipun kita masih lagi belajar. Kita ni pelajar sekolah agama. Aku rasa tak sesuai pelajar sekolah agama yang banyak mendapat pendedehan tentang agama, bercinta.” Terluah juga segala apa yang ingin aku sampaikan.
Rauqah seperti marah. “habis tu, kau nak aku putus dengan dia? Eh, memang tak. Kau pun tahukan, Allah jadikan makhluknya berpasang-pasangan, jadi apa salahnya kalau aku bercinta? Aku bukannya buat perkara-perkara yang haram, aku tak ada pegang-pegang.” Rauqah mempertahankan pendapatnya.
“Rauqah, dalam Islam tiada istilah bercinta sebelum kahwin. Itu bukan dari sunnah Rasulullah. Maka ia adalah haram. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi s.a.w telah bersabda ,”Sesunggunya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata-kata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan kemaluan hanya menurut atau tidak menuruti.”Rauqah terdiam.
Sambungku lagi, “ikhtilat antara lelaki dan perempuan hanya dibolehkan untuk perkara yang diharuskan syarak. Ikhtilat tu bermacam jenis, bukan setakat face to face je, ikhtilat tu boleh jadi bila seorang lelaki dan perempuan berhubung tanpa ada kepentingan yang diharuskan syarak. Sedangkan bermain sms, berbalas surat juga dikira ikhtilat selagi ia melibatkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Kau tahu tak? Perkara yang aku paling takut ialah orang yang berzina kerana orang yang berzina itu dikira pelaku maksiat dan pelaku maksiat itu dikira orang yang mempersendakan agama. Boleh rosak akidah. Rauqah, aku sayang kau sebab kau sahabat aku, aku tak sanggup melihat kau dikaburi oleh fitnah syaitan” kataku lirih. Air mata aku mula bertakung mengenangkan Rauqah. Sedarlah sahabatku!
“Aku.. aku bukan.er..”kelu lidah Rauqah. Dia keliru.
“Kau putuslah dengan Raziq. Untuk pengetahuan kau, dia pernah ajak aku bercinta. Tapi aku tak nak. Aku sayang kau. Aku tak nak kau terlibat dengan dosa bercinta ni.”kataku lembut kepada Rauqah.
“Sudahlah. Kau saja je kan kata macam tu. Biar kau pun yang terhegeh-hegeh dekat Raziq. Raziq dah pernah ceritalah, kau tu suka sms dia, hantar surat kat dia. Tapi Raziq tak layan. Jadi kau cemburu bila Raziq dengan aku. Kau ni memang, kau bukan kawan aku, tapi kau lawan aku dalam diam-diam. Sudahlah. Antara aku dan kau, kita putus!” aku pula terdiam. Rauqah berlalu meninggalkan aku.
“Rauqah. Hanya kerana Raziq kau nak kita putus?”aku cuba mengejar Rauqah tapi dia lebih laju daripadaku. Aku semakin mengerti saat dia berpindah tempat duduk di dalam kelas. Dia sudah tidak duduk dengan aku. Setiap kali aku cuba berbaik-baik dengan Rauqah pasti dia akan melarikan diri.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Aku sedang sibuk menyelesaikan soalan Matematik yang diberikan cikgu sebelum balik sekolah tadi. Sesekali aku menguap kerana keletihan. Benarlah kata orang, belajar lebih meletihkan daripada bekerja kerana belajar memerlukan otak untuk memerah keringat manakala bekerja memerlukan kekuatan fizikal sahaja.
Saat ini aku terbayang katil yang empuk dan bantal yang lembut. Best ni kalau disorongkan bantal, confirm terlentok punya. Aku mengeliat untuk meregangkan otot-otot yang tegang. Lambatnya habis sekolah. Tak sabar nak masuk universiti pula.
Tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran seseorang yang paling aku tak ingin jumpa. Aku mengetap bibir kerana tidak selesa dia menghampiri aku. Kalau nampak di pelajar lain ni mesti akan ada buah-buah mulut daripada manusia yang baik sangat suka judge people tanpa tahu apa-apa yang dibualkan.
“Buat apa datang sini? Maaflah, Rauqah tak ada kat sini.”kataku menyampah. Sikit pun aku tak pandang muka Raziq. Raziq tersenyum-senyum melihat aku.
“Hehe, tahu! Sebab Rauqah tak adalah aku datang jenguk kau ni. Comellah kau ni bila kau marah-marah. Cute je. Ain, kau tak nak kat aku ke?” Aduh! Raziq dah mula dah. Aku berharap sangat yang Syauqina cepat-cepat datang.
“Hey! Kau jangan nak main-mainkan perasaan Rauqah eh. Dia mati-mati suka kau. Aku tahu je kau sakitkan hati dia, tahulah nasib kau.”aku memberi amaran namun sikit pun tak mengerunkan Raziq. Malah diejeknya adalah. Aku mencebik. Menyampahnya tengak mamat ni.
“Nah! Surat cinta untuk kau. Balaslah. Banyak kali dah aku hantar, satu pun kau tak pernah balas. Aku ni bukan tak handsome, tapi kenapa kau tak cair ek dengan aku?” alamak! Mamat ni start perasaan dah.
“Eh tolonglah. Jangan ganggu aku boleh tak? Aku tak suka kau, sampai bila-bila pun aku tak akan suka kat kau. Buang masa je kau ganggu aku. Nama je pelajar sekolah agama, tapi ciri-ciri tu satu pun tak ada kat kau. Gedik! ”aku cuba menghalau Raziq tapi sikit pun dia tak ambil peduli.
“Kau ni, makin garang makin cute pula aku tengak.”Raziq merenung aku sambil bertongkat dagu. Tersenyum-senyum dia melihatku. Aku semakin tak selesa dengan Raziq.
“Hey!kau buat apa kat sini? Blah, blah.”halau Syauqina garang. Aku tersenyum kerana penyelamat keadaan dah sampai. Tepat pada masanya. Raziq teragak-agak untuk beredar.
“Aku cakap berambus. Kau nak kena penumbuk sulung aku ke?”Syauqina mula menunjukkan penumbuknya yang tak sebesar mana. Raziq mula beransur pergi. Siapa tak kenal Syauqina? Juara taekwando antara sekolah.
“Kau ok?”tanya Syauqina risau. Aku tersenyum.
“Hehe, ok. Penyelamat aku ni garang betul, naik takut pula aku. Haha.” Aku bersyukur mempunyai sahabat sebaik dan setegas Syauqina.
“Eh, poyolah kau ni. Apa mamat sengal tu cakap kat kau? Dah lama ke dia ganggu kau? Asal tak panggil je aku. Apa masalah dia tu sampai sekarang asyik ganggu-ganggu kau?” soal Syauqina bertalu-talu. Pening aku nak menjawabnya.
“Kau ni. Mana satu aku nak jawab dulu? Soalan kau ni dah macam peluru toperdo je. Haha. Ni, dia bagi tadi.”aku menghulurkan surat cinta Raziq kepada Syauqina.
Syauqina segera membuka dan membacanya. Sengaja suara dikuatkan supaya aku dapat sama mengetahui isi kandungan surat tersebut. Aku mengeleng-geleng kepala dengan makhluk bernama Raziq Iqbal ni.
“Ee, gelinya aku dengan mamat ni. Jiwang semacam. Nak termuntah aku baca ayat-ayat cinta dia ni.”spontan Syauqina membuat gaya nak termuntah. Aku tergelak dengan reaksi spontan Syauqina. Terhibur sungguh aku apabila bersama-sama dengan Syauqina.
“Kau simpanlah. Aku takut nanti Rauqah tahu.”pintaku kerana risau Rauqah terjumpa surat ni. Maklumlah aku dan Rauqah satu dorm. Termasuk kali ni, dah 35 surat cinta aku terima daripada Raziq sejak dari satu tahun yang lepas lagi. Dah masuk form 5 pun masih tak sedar-sedar lagi. Bila nak insaf pun aku tak tahu.
“Kau bebelkan apa wei? Dah macam mak nenek je. Jomlah balik, dah dekat jam 4:30 petang dah ni. Aku laparlah. Agaknya mak cik kantin masak apa ek? Aku ni bosan dah asyik makan makanan asrama je. Rindunya nak makan masakan ibu aku.”bebel Syauqina seorang diri. Aku cuma memerhati sambil tersenyum.
Aku dan Syauqina bergelak ketawa sepanjang perjalanan pulang ke asrama. Kami bergurau senda sehingga bertepuk tampar. Sepasang mata melihat kemesraan kami. Rauqah meluat dan cemburu melihat keakraban persahabatan kami.
“Nanti tunggu aku ea. Kita turun makan sama-sama. Aku nak mandi dulu. Kau?” soal Syauqina kepadaku.
“Aku pun nak mandi jugalah. Kau tunggu aku ea. Nanti kita pergi sama-sama. Aku nak basuh baju sikit hari ni.” Aku pun segera masuk ke bilik A. Aku mencari dan mengumpul pakaian kotor untuk dibasuh. Malas nak guna dobi sebab baju bukan banyak pun.
Syauqina di bilik C iaitu selang satu bilik denganku masih tak keluar-keluar. Mana Syauqina ni? Aku pun pergi mencari Syauqina di biliknya. Saat ingin ke bilik C, aku terserempak dengan Rauqah. Tajam dia memandangku.
Setelah itu, kami segera ke bilik air untuk membersihkan diri. Setelah makan, Syauqina ke bilikku dan kami sibuk bersembang. Rakan-rakan lain sibuk study tapi kami asyik dengan bercakap. Kadang-kadang kami kena sound kerana terlampau bising. Hanya ketawa menemai kami.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tergambar gelak tawa dan gurau senda Quratul Ain dan Syauqina Najwa. Rauqah hanya memerhati. Sesekali dia mencuri pandang akan Ain dan Syauqina. Kadang-kadang dia terfikir, apakah betul tindakan dia memutuskan persahabatan ni?
Sejak memutuskan hubungan dengan Ain, hidupnya tidak seindah dulu. Dulu hidupnya penuh dengan warna warni kebahagiaan. Gurau senda, gelak tawa, dan bertepuk tampar merupakan perkara asas setiap kali bersama Ain dan Syauqina. Tapi sekarang?
Pernah juga Rauqah terfikir untuk kembali berbaik-baik dengan Ain dan Syauqina tapi disebabkan ego dan rasa malu, dipendamkan saja keinginan tersebut. Dia risau sekiranya orang lain memandangnya serong.
Tiba-tiba datang suatu khabar angin mengatakan tentang Ain dan Raziq berdating di perpustakaan. Rauqah tidak tahu dari mana datangnya berita tersebut. Apa yang dia tahu dia sangat sakit hati dan marah akan Ain.
Di satu sudut kelas, “Ain.”sergah Rauqah tiba-tiba. Pelajar-pelajar yang ada di kelas 5 Arab 1 memerhatikan Rauqah. Semua memasang telinga untuk mendengar butir bicara Rauqah. Kebetulan semua guru yang mengajar tingkatan 5 sedang bermesyuarat jadi kelas sunyi tanpa sebarang pembelajaran.
Berkerut dahi Ain memandang Rauqah. Apahal pula ni? Terhenti perbualan Syauqina dan Ain akibat diganggu Rauqah. Tiada angin tiada rebut tiba-tiba main sergah orang.
“Kenapa?”soal Ain bingung. Syauqina memandang tajam Rauqah. Sejak tak bersahabat dengan Rauqah ni, perangai mengada Rauqah menjadi-jadi. Naik meluat Syauqina.
“Kau buat apa dengan Raziq semalam di perpustakaan? Aku tengak kau ni luaran je nampak baik, tapi dalaman kau ni lebih busuk dari bangkai.”tuduh Rauqah tak berasas. Ain berdiri setara dengan Rauqah. Mereka bertentangan mata.
“Apa pula? Aku tak buat apa-apa pun. Raziq yang ganggu aku dulu. Tak percaya tanyalah Syauqina, dia boleh jadi saksi sebab dia pun ada masa tu di perpustakaan.”aku menoleh memandang Syauqina. Mataku meminta pertolongan Syauqina.
“Betul tu Rauqah. Kau jangan jadi buta disebabkan oleh cinta kau terhadap Raziq. Raziq belum tentu ikhlas dengan kau. Kalau betul dia ikhlas, tiadanya dia nak minta Ain jadi kekasihnya. Kelmarin, dia ada titipkan surat cinta buat Ain. Tapi Ain tak terima, Ain suruh aku simpan surat-surat tu.”Syauqina menjelaskan keadaan sebenar. Rauqah serba salah sama ada nak percaya atau tak.
“Aku tak tahu nak percayakan siapa. Aku sendiri pening. Kadang-kadang terdetik dalam hati aku, aku ni betul-betul ke sukakan Raziq atau ia sekadar hasutan syaitan untuk menjerat aku. Aku buntu.”Rauqah terduduk. Kami menghampiri Rauqah dan menenangkannya.
“Sabarlah Rauqah. Kebenaran pasti akan terungkap. Cuma cepat atau lambat je. Kami selalu disisi kau, walaupun kita sudah tak bersahabat tapi aku tetap anggap kau sahabat aku. Kita berkawan bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup, tetapi kita bersahabat kerana ukhwah yang terjalin diantara kita bersandarkan Allah semata-mata.”aku menasihati Rauqah.Bergenang air mata di kelopak mata Rauqah.
“Aku selalu terfikir kata-kata kau. Setiap malam kata-kata kau menjengah kotak fikiran aku. Ada benarnya kata-kata kau tapi aku tak pasti aku dapat lepaskan Raziq atau tak sebab aku pun sayangkan dia. Sayang sangat.”Rauqah tertunduk memandang lantai.
Tatkala ini, masing-masing melayan perasaan masing-masing. Semua pelajar sudah beransur beredar. Mereka sudah tak mahu nak melihat lebih lanjut drama yang sedang kami lakonkan. Seketika aku terlihat kelibat seorang lelaki masuk ke dalam kelas.
“Rauqah.” suara lelaki itu terlantun keluar. Ya! Suara milik Mohd Raziq Iqbal.
Rauqah mendongakkan kepalanya memandang Raziq. Syauqina dan Ain menjadi pemerhati.
“Raziq, aku nak kita putus!”tegas Rauqah menuturkan butir bicaranya. Raziq terkesima. Aku dan Syauqina tersentak. Raziq tak berpuas hati.
“Tapi kenapa?”Raziq memandang Rauqah tajam. Aku memegang bahu Rauqah untuk memberinya kekuatan.
“Pada usia ni terlalu awal untuk kita bercinta, bimbang fitnah syaitan akan memakan diri sendiri. Aku minta maaf sebab minta putus. Aku tahu ini terlalu drastik bagi kau tapi aku dah tak sanggup nak tanggung beban dosa sepanjang kita bercinta. Aku harap kau terima hakikat ni.”ujar Rauqah. Aku terharu.Rauqah menarik lenganku dan Syauqina, kami menurut dan beredar dari kelas tersebut. Aku melihat mata Rauqah berkaca.
“Kau sedih?”Soal Ain. Rauqah menoleh memandang kami berdua. Dia tersenyum, kemudian dia mengeleng.
“Aku lega sebab dapat buat perkara yang betul. Terima kasih Ain, Syauqina kerana menyedarkan aku. Kaulah sahabat aku dunia akhirat.”Rauqah bersuara. Tanganya memaut bahu kami.
“Sahabat yang sebenar ialah sahabat yang sentiasa berkata benar dengan kita, bukan membenarkan kata-kata kita.”ujarku. Syauqina dan Rauqah mengia-iakan kata-kataku.Aku tersenyum lantas memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t kerana mempertemukan kami, dan mentakdirkan kami bersahabat semata-mata kerana Allah.

                                                                                 -TAMAT-

p/s : Silalah baca. Nak bagi komen pun sangat dialu-alukan. Mohon maaf sekiranya cerpen ni tak menepati citarasa,atau rasa mengarut atau mungkin tak suka dengan jalan penceritaan tersebut. (Ini cerpen kedua ditulis dua tahun lepas untuk menyertai pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan alhamdulillah dapat tempat saguhati.)

No comments:

Post a Comment